fb fb fb fb fb

Kerjasama NADMA, agensi utama pastikan amaran awal bencana lebih berkesan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan agensi utama termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta syarikat telekomunikasi akan terus diperkasa.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Persediaan Bencana (Dasar) NADMA, Ahmad Rajiun Abu Bakar, langkah itu penting bagi memastikan sistem penyampaian amaran awal bencana lebih berkesan.

Katanya, kerjasama tersebut membolehkan ancaman bencana dikenal pasti lebih awal supaya penduduk di kawasan terlibat dapat bersedia dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

"Kita sedang bekerjasama dengan pihak MET Malaysia dan juga pihak JPS untuk memastikan amaran awal sama ada banjir, tanah runtuh dan juga baru-baru ini gempa bumi kan.

"Jadi kita cuba untuk memastikan penduduk-penduduk yang bakal terkesan itu mendapat maklumat awal. Kita juga bekerjasama dengan pihak telekomunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Jadi, apabila kita dapat saja amaran awal, kita akan sebarkan sistem pesanan ringkas (SMS) kepada penduduk-penduduk setempat yang kita jangka akan terkesan oleh bencana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM