fb fb fb fb fb

Himpunan protes isu flotila: Rakyat diingatkan patuhi undang-undang

Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 3 Oktober -Orang ramai yang berhimpun mengutuk tindakan Israel menahan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza, dinasihatkan supaya menghormati undang-undang dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan berkata, hak untuk berhimpun secara aman perlu dilaksanakan dengan tertib, berhemah dan mematuhi undang-undang, tanpa menjejaskan keselamatan awam atau menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi.

Tiada pihak boleh menggunakan alasan berhimpun untuk mencetuskan kekecohan atau menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.

"Perhimpunan aman yang dianjurkan oleh sebahagian rakyat Malaysia adalah hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuandan ia membawa suara solidariti kita terhadap isu kemanusiaan di Palestin.

"Namun demikian, saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba menghalang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas semasa perhimpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat semalam (2 Oktober)," katanya menerusi hantaran di Fecebooknya.

Beliau berkata anggota PDRM berada di lapangan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, namun ada pihak yang bertindak melampaui batas sehingga mencederakan anggota polis.

Datuk Seri Saifuddin berkata beliau yakin PDRM akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka berlandaskan undang-undang, demi memastikan keselamatan rakyat serta ketenteraman dalam negeri sentiasa terpelihara.

Pada masa sama, beliau berkata kementeriannya bersama dengan suara rakyat Malaysia menggesa agar semua aktivis dan sukarelawan, khususnya rakyat Malaysia dibebaskan segera tanpa sebarang syarat.

Keselamatan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan dan kerajaan akan terus menggunakan segala saluran diplomatik serta undang-undang antarabangsa, untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakan zalim tersebut.

"Malaysia kekal berdiri teguh bersama rakyat Palestin sehingga keadilan dan kebebasan menjadi milik mereka,"katanya.

TETITIA YUSOFF