fb fb fb fb fb

Salam Baitullah guna TikTok dekati penonton

(Suhaimi Sulaiman (tiga kiri) dalam pelancaran program Salam Baitullah di Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 16 Jun- Salam Baitullah musim ke-15, terbitan RTM, menjanjikan kelainan dengan liputan dan maklumat terkini suasana di Tanah Suci Mekah yang turut dipancarkan secara langsung menerusi platform media sosial TikTok dan YouTube.

Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman berkata, Salam Baitullah bakal mendapat lonjakan jumlah penonton menerusi kedua-dua platform berkenaan termasuk platform digital.

"Apabila kita bersiaran menggunakan platform digital media, sudah tentu angka itu (tontonan) akan naik.

"Saya rasa kita boleh dapat sekurang-kurangnya 12 juta tontonan. Itu bila kira campur dengan platform digital sekali, dunia televisyen bercampur dengan dunia digital," katanya semasa sidang media program Salam Baitullah di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Jumlah tontonan turut dijangka meningkat menerusi pelbagai pembaharuan yang dilakukan termasuk penggunaan teknologi imej janaan komputer (CGI).

Suhaimi berkata, RTM bergerak seiring dengan perubahan terkini yang lebih canggih.

"Dunia penceritaan perlu berubah. Sekiranya penceritaan kita (RTM) masih di tahap lama, kita akan susah untuk bersaing.

"Saya sangat yakin dan bangga dengan kakitangan RTM, mereka sangat terlatih dan hebat. Jadi ini (kepakaran) harus kita tonjolkan.

"Tengok sahajalah nanti, sebab saya dah tengok pratonton dan saya amat berbangga dengan apa yang telah dihasilkan," katanya.

Salam Baitullah bertemakan 'Penyucian Jiwa, Kemuncak Ibadah' bersiaran secara langsung di saluran TV1, Berita RTM, MyTV 123, RTMKlik, TikTok dan YouTube bermula esok sehingga 30 Jun, setiap pukul 8.20 malam.

Program berkenaan dikendalikan pengacara Ustaz Hariz Ismail (PURiz) dan Ustaz Fakrul Razi (UNIC), serta Yatt Hamzah bagi segmen media sosial menerusi Tik Tok dan YouTube.

Penonton setia juga berpeluang memenangi hadiah menarik dalam kuiz terkumpul dan harian.

Hadiah utama bagi kuiz terkumpul berupa pakej umrah premium untuk tiga pemenang utama, lima tiket penerbangan pergi balik serta baucar umrah.

(Suhaimi Sulaiman)

Media Baharu