fb fb fb fb fb

Misi ke Minggu Teknologi London berjaya - Fahmi

(Fahmi Fadzil)

LONDON, 16 Jun- Sebanyak RM8.3 bilion komitmen pelaburan daripada sembilan syarikat United Kingdom (UK) diraih Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Minggu Teknologi London. 

Beberapa perjanjian persefahaman dan pertukaran kerjasama turut dimeterai, selain sejumlah siri jalinan rangkaian turut dijalin.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyifatkan, misi ke London itu sebagai berjaya.

"Banyak yang telah kita berjaya dengar, dapatan yang kita peroleh, cabaran dihadapi sektor ekonomi digital termasuk aspek inovasi dan teknologi baharu.

"Begitu juga, peluang syarikat-syarikat Malaysa untuk kita bawa keluar ke Eropah melalui UK, dan syarikat-syarikat UK yang boleh kita bawa ke Malaysia," katanya kepada pemberita di sini.

Tambah beliau, bagi meneruskan momentum kejayaan, beberapa perkara akan diperhalusi, antaranya pembangunan infrastruktur dan prasarana bersesuaian.

Sementara itu, peluasan perkhidmatan 5G dwirangkaian turut dititikberatkan.

Beberapa akta juga dicadang untuk digubal bagi memudahkan operasi pelaburan dan perniagaan pemain industri antarabangsa.

"Beberapa perkara ini kita perlu lakukan. Saya percaya saya telah beri beberapa arahan kepada MDEC dan beberapa agensi lain, perlu kita usahakan dengan kadar segera, supaya banyak daripada keuntungan, keterlibatan syarikat malaysia dan UK ini membuahkan hasil dan limpahan ekonomi kepada Malaysia," katanya.

November ini, giliran Malaysia menjadi tuan rumah menerusi Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 yang dijadual berlangsung selama seminggu dengan menghimpunkan pemain industri tempatan dan antarabangsa.

(Fahmi Fadzil (kiri) dalam Minggu Teknologi London)

Media Baharu