fb fb fb fb fb

Jawatankuasa baharu MMKN, tempatkan pegawai di PBT lain

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 16 Jun- Kerajaan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membolehkan pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ditempatkan ke PBT lain.

Ketetapan baharu itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan Ke-80 (MNKT ke-80) yang bersidang pada 14 Jun lalu.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan berkata ia bertujuan memperkasa penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan menerusi peningkatan aspek pengalaman, akauntabiliti dan kredibiliti pegawai PBT.

Menurut kenyataan itu, profesional Jabatan Kerja Raya juga diberi penarafan sebagai badan profesional yang mewakili kerajaan bagi mendapatkan Sijil Perakuan dan Pematuhan (CCC) bagi bangunan yang dibina secara kaedah konvensional dalaman JKR.


(Foto hiasan)

"Melalui inisiatif tersebut, Arkitek JKR dan Jurutera Profesional JKR yang dilantik melalui surat lantikan Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) boleh bertindak sebagai Orang Utama Yang
Mengemukakan (Principal Submitting Person – PSP) dan Orang Yang Mengemukakan (Submitting Person – SP) mewakili Kerajaan bagi melaksanakan urusan mendapatkan kelulusan permit pembinaan daripada PBT sehingga pengeluaran CCC", kata kenyataan itu.

Bagi memperincikan mekanisme dan proses-proses berkaitan, satu garis panduan akan dibangunkan dengan pihak-pihak berkepentingan untuk rujukan industri dan PBT.

"Di samping memperkasa modal insan dan mengiktiraf profesionalisme, inisiatif ini juga dapat memastikan projek bangunan kerajaan yang dilaksanakan oleh JKR mematuhi keperluan statutori dan mengurangkan beban kewangan kepada Kerajaan berikutan tiada bayaran fi perundingan dibuat malah menggunakan penjawat awam sedia ada.

Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan Kerajaan Negeri akan sentiasa bekerjasama dalam memperkasa modal insan seterusnya meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan bagi memastikan dasar, perundangan dan hal ehwalmengenai kerajaan tempatan berada pada tahap yang optimum.

Media Baharu