SHAH ALAM, 14 Mei- Salam Baitullah 2025, program keagamaan terbitan RTM yang kini memasuki musim ke-17, tampil lebih segar dan inovatif dengan memperkenalkan penggunaan teknologi hologram dan kecerdasan buatan (AI) dalam kandungannya.
Buat julung kalinya, elemen visual program ini diperkuat dengan persembahan 'holografik' dan naratif yang dijana teknologi AI, menjadikannya lebih interaktif, mendalam dan menyeluruh khususnya dalam segmen Rehlah Haramain dan Muslim World.
Penggunaan teknologi ini bukan sahaja memperkaya pengalaman tontonan, malah meletakkan Salam Baitullah sebagai program keagamaan pertama di RTM yang memanfaatkan AI dan hologram bagi menyampaikan mesej rohani secara moden dan berkesan.
Program yang bakal disiarkan dari Masjid Putra, Putrajaya ini dijangka menarik lebih 2 juta penonton setiap malam di pelbagai platform.
Sebanyak tujuh segmen utama disusun secara rapi untuk menambah kepelbagaian dalam penerbitan kandungan program.
Sebagai tambahan kepada siaran utama, tahun ini RTM turut memperkenalkan segmen baharu Podcast Salam Baitullah 2025 yang akan bersiaran setiap malam pada pukul 7.45 hingga 8.30 malam menerusi media sosial RTM.
Rancangan ini turut dibarisi tiga pengacara berwibawa iaitu Ustaz Fakhrul Radhi dan Ustaz Jalal Zaiki yang akan membawakan pengisian berbentuk ilmiah dan rohani dalam segmen utama, manakala Zizi Kirana pula tampil sebagai pengacara Podcast Salam Baitullah 2025 dengan gaya santai, segar dan kontemporari.
Program yang menjadi antara rancangan paling dinantikan sepanjang musim haji ini akan disiarkan bermula 24 Mei hingga 7 Jun 2025, sebanyak 16 episod berturut-turut, setiap malam pada pukul 9.00 hingga 10.30 malam di TV1 serta di semua platform digital RTM.
Melalui pendekatan teknologi canggih ini, RTM terus mengangkat standard penyiaran Islamik dengan gaya kontemporari tanpa mengetepikan nilai kerohanian, menjadikan Salam Baitullah 2025 bukan sekadar tontonan, tetapi sebuah pengembaraan rohani digital nasional "Seruan illahi, Cahaya Nurani".