fb fb fb fb fb

Pemilihan Cabang PKR April lalu jauh lebih tertib, berbanding tahun sebelumnya

Pemilihan Cabang PKR yang berlangsung April lalu disifatkan jauh lebih tertib dan teratur. /Foto Bernama

SHAH ALAM, 14 Mei- Pemilihan Cabang PKR yang berlangsung April lalu disifatkan jauh lebih tertib dan teratur jika dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu.

Jelas Ketua Penerangan parti, Datuk Fahmi Fadzil, keputusan parti untuk menggunakan sistem baharu dalam pemilihan cabang baru-baru ini turut menggambarkan PKR, sebuah parti yang menjamin integriti sesiapa yang dipilih tanpa gangguan mana-mana pihak.

"Kali ini parti sudah buat keputusan awal untuk memanfaatkan teknologi dan tidak membenarkan berkumpul beramai-ramai untuk mengundi di peringkat cabang. Kita dapati proses seperti itu amat membantu menjaga tertib dan disiplin.

"Malah keputusan itu bagi saya tepat kerana pertama menunjukkan PKR sebuah parti yang pandang ke depan, memanfaatkan teknologi seperti blockchain untuk tujuan menjamin integriti pemilihan utuh dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak, di samping disiplin patuh keputusan parti untuk tidak berkumpul lebih 50 orang di satu-satu tempat," katanya.

Sementara itu, Datuk Fahmi berkata beliau percaya kepimpinan parti akan berlaku adil dalam meletakkan seseorang itu di tempat yang selayaknya untuk terus mengukuhkan hala tuju parti walaupun tewas atau tidak terpilih pada akhir proses pemilihan.

MOHAN CHINNASAMY