TELUK INTAN, 14 Mei-Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) semalam, direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 45 tahun itu dikeluarkan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ia memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh lima tahun jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian 8.50 pagi semalam, sembilan anggota FRU dari unit 5 Sungai Senam, Ipoh terkorban selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh dari arah hadapan oleh sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan sempena perayaan Chitrapournami pada Isnin lalu.
Dalam kejadian tersebut juga, sembilan anggota turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan.