KULIM, 14 Mei -Jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, yang maut bersama lapan anggota lain dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam di Perak semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan (B) Masjid Tuanku Abdul Rahman Putra, Lunas.
Jenazah dikebumikan kira- kira pukul 10.45 pagi dengan penuh kehormatan diiringi dan diusung oleh pasukan pengusung daripada FRU.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Zulkifli Azizan menyampaikan Jalur Gemilang kepada ayah Allahyarham, Annuar Yusof.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan sekali lagi oleh Imam Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, Shahril Adzhar Abu Samah di Masjid Tuanku Abdul Rahman Putra di Lunas.
Lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan setugas serta orang awam hadir memberikan penghormatan terakhir.
Jenazah Allahyarham, anak sulung daripada 5 adik beradik tiba di kediaman ibu bapanya di Taman Pegaga Lunas kira- kira pukul 6.30 pagi tadi dari Perak.
Akmal antara sembilan anggota FRU unit 5 berpangkalan di Sungai Senam Ipoh yang maut dalam perjalanan pulang selepas selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak.