KUALA LUMPUR, 14 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu terus berdiri teguh berpaksikan asas ekonomi yang kukuh, serta semangat kebersamaan rakyat dari kalangan pimpinan, penjawat awam, penggerak masyarakat mahupun sektor swasta, meskipun dunia sedang berdepan ketidaktentuan.
Menerusi satu wacana bersama anak-anak Malaysia di luar negara, beliau berkata kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada angka, tetapi pada tatakelola yang baik dan iltizam untuk menoktahkan budaya kebobrokan.
"Setibanya di Moscow, saya bersama barisan menteri Kabinet terus ke ibu kota untuk berdialog bersama pelajar-pelajar Malaysia yang kini menggalas amanah sebagai duta kecil negara di Rusia.
"Dalam wacana ini, saya berkongsi beberapa cabaran geopolitik semasa, termasuk pelaksanaan tarif balas oleh Amerika Syarikat (AS).
"Kita tidak mahu Malaysia dikenang kerana rasuah atau perpecahan kaum dan agama.
"Pemimpin harus menjauhi salah guna kuasa dan amalan memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga, sebaliknya tampil rendah diri, mendengar pandangan rakyat untuk merangka dasar yang mengangkat darjat, harkat dan martabat negara", katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Anwar turut mengingatkan bahawa anak-anak Malaysia di luar negara memikul amanah besar.
"Pelaburan berbilion ringgit oleh syarikat seperti Infineon, Google, Microsoft, NVIDIA dan ARMS hanya akan membuahkan hasil jika kita berjaya menyediakan bakat dan tenaga mahir yang mencukupi. Ilmu yang ditimba di rantau asing harus diterjemah kepada daya saing negara.
Selain itu, beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperluas peluang pekerjaan bernilai tinggi serta memperkenalkan sistem undi dalam talian bagi memastikan hak rakyat tidak dinafikan oleh kekangan teknikal.
"Saya juga mendengar sendiri kegusaran anak-anak pelajar dari isu peluang pekerjaan di tanah air, hinggalah kepada cabaran melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dari luar negara.
Mengakhiri wacana tersebut, Perdana Menteri menyampaikan pesanan agar anak-anak Malaysia terus berusaha menimba ilmu dan meneroka bidang-bidang baharu yang penting kepada negara.
"Namun dalam setiap langkah, pastikan diri terus mengakar ke bumi, yakni berpegang teguh pada jati diri dan semangat kebangsaan yang membentuk kekuatan kita sebagai anak Malaysia", katanya.