PERAI, 14 Mei- Sebuah gudang penyimpanan kabel elektrik dua tingkat di Taman Inderawasih, Perai musnah dalam kebakaran besar petang semalam, melibatkan kemusnahan hampir 90 peratus struktur bangunan.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.59 petang sebelum lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) serta 10 pasukan Bomba Sukarela (PBS) digerakkan ke lokasi kejadian.
"Operasi pemadaman mengambil masa hampir empat jam berikutan runtuhan lantai dan bumbung yang menutupi timbunan kabel di kawasan kebakaran, menyukarkan kerja-kerja pemadaman.
"Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh satu jam dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.59 malam," menurut John Sagun Francis.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.