HULU TERENGGANU, 14 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu merampas sebanyak 477 tong gas petroleum cecair (LPG) serta dua buah lori dalam satu serbuan di kawasan tanah lapang berhampiran Ajil, semalam.
Menurut Pengarah KPDN Terengganu, Mufsi Lat, serbuan sekitar pukul 12.30 tengah hari itu adalah hasil risikan selama dua minggu yang dijalankan oleh pasukan penguat kuasa kementerian tersebut.
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak 6,592 kilogram LPG, dengan nilai pasaran melebihi RM65,000.
“Siasatan awal mendapati tong-tong LPG ini diperoleh daripada pembekal setempat dan luar negeri, dan dipercayai disalurkan kepada pengusaha restoran, dobi serta hotel sekitar Kuala Berang dan Ajil tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pihak terlibat gagal mengemukakan lesen, permit, atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan atau mengedar barang kawalan berjadual.
Seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
KPDN kini sedang menyiasat lanjut pembekal utama yang dipercayai menyalurkan tong gas tersebut kepada individu tidak berlesen. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyeleweng barang kawalan bersubsidi.
“Kami ingin memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak mengambil mudah soal pengurusan barang kawalan. KPDN tidak akan berkompromi dan akan terus menggempur mana-mana sindiket yang terbabit,” tegas beliau.
Operasi tersebut merupakan sebahagian daripada gerakan bersepadu yang dilancarkan sejak 1 Mei 2025, melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).