KUALA LUMPUR, 14 Mei- Kehilangan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Teluk Intan, Perak bukan hanya dirasai oleh keluarga dan rakan setugas.
Tragedi itu turut menyentuh hati seluruh rakyat. Khususnya warga pasukan keselamatan yang sentiasa komited dalam melaksanakan tugas tanpa mengira waktu dan keadaan.
Demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Baginda berdua amat dukacita atas pemergian kesemua wira negara yang telah menabur bakti serta menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas sebagai anggota keselamatan," menurut hantaran di media sosial Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga mendoakan agar roh kesemua mereka dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Baginda berdua menzahirkan agar keluarga yang ditinggalkan dikurniakan ketabahan, kekuatan serta lindungan Ilahi dalam menghadapi ujian yang amat berat.