PENGKALAN KUBOR, 14 Mei- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8, Briged Tenggara berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan produk kosmetik dari Thailand dalam satu operasi rondaan di kawasan Pengkalan Haram Paija, kelmarin.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Briged Tenggara PGA, rondaan rutin sempena Op Taring Wawasan Kelantan telah menemukan beberapa kotak mencurigakan di tebing sungai sekitar pukul 12.30 tengah malam sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.
"Hasil pemeriksaan mendapati kotak-kotak berkenaan mengandungi pelbagai jenis produk kosmetik yang dianggarkan bernilai RM30,000, dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan.
"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, dan semua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut," menurut hantaran tersebut.
PGA dalam kenyataannya memaklumkan kawalan di kawasan sempadan akan terus dipertingkat bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang semakin aktif dan licik, khususnya di laluan-laluan tidak sah sekitar sempadan negara.
FOTO FB Briged Tenggara PGA Rasmi