fb fb fb fb fb

Dr. Zaliha terima Anugerah Tadbir Urus Global di Brunei

FOTO FB Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 14 Mei- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan 3G Leadership Award for Government Sector (Individual) 2025 sempena Anugerah Tadbir Urus Baik Global ke-10 (3G Awards) anjuran Cambridge IFA.

Penganugerahan itu berlangsung di Brunei Darussalam sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak Tadbir Urus Baik Global 2025, yang turut mendapat kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Jabatan Wilayah Persekutuan menerusi satu kenyataan memaklumkan, pengiktirafan berprestij itu diberikan berdasarkan penilaian profesional Cambridge IFA terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr. Zaliha dalam memperkukuh tadbir urus yang berintegriti, inklusif dan berpaksikan rakyat di Wilayah Persekutuan.

"Pengiktirafan ini dilihat sebagai cerminan komitmen berterusan Malaysia, khususnya Wilayah Persekutuan dalam menerajui reformasi pentadbiran sektor awam serta mendukung prinsip kelestarian bandar berlandaskan nilai-nilai Malaysia MADANI.

"Ia turut menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh tata kelola berasaskan nilai, ke arah menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai peneraju tadbir urus progresif dan berfokus rakyat," menurut kenyataan tersebut.

Sebanyak 19 penerima dari 15 negara diraikan dalam majlis tersebut yang menghimpunkan tokoh-tokoh utama kerajaan dan korporat dari seluruh dunia termasuk wakil Petronas Dagangan Berhad dan Kastam Dubai.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, dan disaksikan oleh Pengerusi Cambridge IFA, Profesor Dr. Humayon Dar.

Menurut Cambridge IFA, Anugerah 3G dinilai berdasarkan kriteria impak, ketelusan, inovasi dan tanggungjawab sosial, dengan tujuan mengiktiraf individu serta organisasi yang memperjuangkan tadbir urus progresif dan beretika.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE