PUTRAJAYA, 1 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan tindakan segera akan diambil sekiranya berlaku sebarang salah laku dalam penjualan minyak petrol RON95 di stesen minyak seluruh negara.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu susulan beberapa hantaran di media sosial yang mendakwa pengguna menerima kuantiti RON95 kurang daripada sepatutnya serta berkualiti rendah selepas pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar BUDI95.
"Pemeriksaan ke atas pam minyak dan semakan rekod jualan telah dijalankan di stesen yang terlibat. Hasil siasatan mendapati tiada pelanggaran undang-undang dikesan setakat ini.
"Pelaksanaan BUDI95 tidak melibatkan sebarang perubahan terhadap kuantiti atau kualiti petrol RON95 yang dijual kepada pengguna. Bagaimanapun, pemeriksaan berterusan akan dilaksanakan, termasuk pengambilan sampel secara rawak serta pengujian ketepatan sukatan," menurut kenyataan itu.
Setakat ini, KPDN menerima enam aduan berkaitan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95, namun tiada aduan rasmi diterima berhubung isu kualiti rendah.
Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Bagi syarikat, kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh mencecah sehingga RM500,000.
Bagi individu pula, kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berhubung isu tersebut untuk menyalurkan laporan rasmi beserta butiran aduan yang lengkap melalui saluran Whatsapp 019-848 8000, Pusat Khidmat Pelanggan 1-800-886-800, emel
