fb fb fb fb fb

Malaysia seru kuasa besar guna pengaruh tamatkan konflik Gaza

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) Ke-12 di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 1 November - Malaysia menyeru semua negara, khususnya kuasa besar dunia, supaya menggunakan pengaruh mereka bagi menamatkan konflik di Gaza, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan sejagat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Malaysia menyambut baik Pelan Komprehensif Amerika Syarikat (AS) yang bertujuan menamatkan konflik serta memulihkan keamanan di wilayah berkenaan.

“Setiap negara, sama ada besar atau kecil, mesti berdiri teguh menentang sebarang pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.

"Malaysia menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap tragedi kemanusiaan di Gaza dan Palestin, di mana kebuluran serta penderitaan digunakan sebagai senjata peperangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) Ke-12 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled turut memuji komitmen Kemboja dan Thailand yang terus mengutamakan dialog konstruktif dalam menyelesaikan pertikaian sempadan secara aman.

Beliau turut menghargai sokongan rakan serantau dan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, China serta negara-negara ASEAN lain dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

ADMM-Plus berperanan sebagai platform utama bagi ASEAN dan lapan rakan dialog; Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea, Russia dan Amerika Syarikat memperkukuh kerjasama keselamatan dan pertahanan demi keamanan serta pembangunan serantau.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE