JOHOR BAHRU, 1 November - Kerajaan Johor menzahirkan penghargaan kepada petugas media di negeri ini yang terus menjadi penyampai utama agenda serta inisiatif kerajaan negeri kepada rakyat.
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata liputan dan hebahan media yang dibuat membolehkan rakyat lebih memahami dasar dan inisiatif yang dilaksana kerajaan negeri.
"Banyak maklum balas positif diterima daripada rakyat terhadap aktiviti turun padang yang dianjurkan kerajaan negeri.
"Ini semua hasil liputan agensi media yang memberitahu bangsa Johor berhubung inisiatif dan pencapaian kerajaan negeri," jelasnya pada Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor berkata, di sini pada malam Jumaat.
Beliau berharap petugas media Johor terus kekal cemerlang menjadi penyampai agenda kerajaan negeri kerana berdepan amanah besar tahun depan.
"Tahun 2026 bakal memberikan cabaran kepada kerajaan negeri bukan sahaja sempena Tahun Melawat Johor tetapi juga kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum Negeri Johor.
"Justeru media di negeri ini diharap terus menjadi medium maklumat tepat dan membantu rakyat untuk mendapatkan maklumat sahih nanti," tambah beliau.
Beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor yang dihadiri 84 pengamal media di negeri itu bagi pemilihan Jawatankuasa sesi 2025/2026.