fb fb fb fb fb

Diplomasi sederhana & inklusif PM, kukuh imej negara

Mohamad Shafiq Sahruddin

KUALA LUMPUR, 1 November - Pendekatan diplomasi sederhana dan inklusif yang diamalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang kepengerusian ASEAN 2025 memperkukuh imej negara sebagai jambatan penghubung antara kuasa besar dunia serta suara penyatu di rantau Asia Tenggara.

Menurut Penganalisis Politik Hubungan Antarabangsa, Mohamad Shafiq Sahruddin, diplomasi yang diterapkan berjaya memulihkan profil Malaysia di pentas antarabangsa serta mengembalikan keyakinan terhadap kepimpinan negara.

"Perdana Menteri menggunakan diplomasi peribadi dan proaktif bagi menunjukkan Malaysia sebagai jambatan dialog dan suara sederhana dalam blok rantau ini. Ia sangat membantu memulihkan profil Malaysia, menetapkan nama Malaysia bukan sahaja di blok serantau tetapi juga di mata dunia.

"Ia juga secara tidak langsung menyemarakkan semangat perpaduan serantau di mana perjanjian damai antara dua negara yang bergolak berjaya diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

Gaya kepimpinan sederhana dan pragmatik itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menyifatkan kerjasama Malaysia sebagai membuka peluang ekonomi baharu antara kedua-dua negara.

Seni diplomasi berasaskan kesederhanaan dan keterbukaan bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ASEAN, tetapi juga menjadikan negara ini sebagai contoh kepimpinan diplomatik yang berwibawa di pentas global.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI