BUKIT MERTAJAM, 1 November - Sebanyak RM60 juta diluluskan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi melaksanakan Projek Pemulihan Sungai Juru di Pulau Pinang.
Projek itu bertujuan mengurangkan hakisan tebing, melindungi infrastruktur awam serta menangani isu pencemaran sungai yang semakin kritikal di kawasan berkenaan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata inisiatif berkenaan juga mampu mempromosikan denai sungai sebagai kawasan agro pelancongan, selain meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pemeliharaan sungai.
“Ia merupakan usaha menjadikan denai sebagai tempat rekreasi, mempromosikan agro pelancongan dan dalam masa sama meningkatkan kesedaran komuniti terhadap pemeliharaan sungai.
"Projek ini juga akan memberi impak terhadap usaha menangani banjir di sekitar kawasan terlibat. Saya berharap ia dapat dilaksanakan mengikut jadual dan menjadi projek contoh bagi seluruh negeri Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Denai Sungai Kebangsaan di Sungai Rambai, Bukit Mertajam, hari ini.
Projek pemulihan Sungai Juru itu dijangka bermula tahun hadapan dan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan keberkesanan serta kelestarian jangka panjang sungai tersebut.