BUKIT MERTAJAM, 1 November - Sebanyak 55 denai sungai dengan panjang keseluruhan 88.5 kilometer telah dibina di seluruh Pulau Pinang setakat ini.
Pelaksanaan program berkenaan menjadi medium penting dalam mencapai objektif Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) yang menekankan pendekatan menyeluruh serta melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata usaha itu bertujuan meningkatkan kualiti sumber air, menjamin bekalan air bersih, mengurangkan risiko banjir dan pada masa sama memulihara alam sekitar.
Menurutnya, denai sungai yang dibangunkan di bawah Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) kini turut menjadi tarikan baharu kepada pengunjung untuk menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi.
“Di Pulau Pinang, terdapat 55 denai yang telah dikenal pasti. Penglibatan dan rasa pemilikan (ownership) komuniti bersama kerajaan amat penting untuk memastikan sungai dapat dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Denai Sungai Kebangsaan di Sungai Rambai, Bukit Mertajam, hari ini.