fb fb fb fb fb

Saifuddin yakin kredibiliti KPN dan TKP baharu kemudi PDRM

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 22 Jun- Pelantikan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis yang baharu disifatkan sebagai satu gandingan yang mantap dan mampu meneruskan kecemerlangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan keyakinan terhadap kedua pemimpin itu, mengemudi badan keselamatan negara ke arah lebih baik.

"Saya yakin dan percaya bahawa PDRM di bawah kepimpinan Tan Sri Razaruddin akan dapat diteruskan, meneruskan legasi kecemerlangan yang ditinggalkan Tan Sri Acryl Sani.

Dengan gabungan baharu bersama, Datuk Ayob Khan sebagai Timbalan Ketua Polis, saya percaya ini satu gandingan yang sangat mantap," kata Saifuddin kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di ibu negara.

Tambahnya, isu sensitif melibatkan 3R iaitu Agama (Religion), Raja (Royalty) dan Kaum (Race) perlu terus diberi perhatian pasukan itu.


(Foto FB Menteri)

"Teguran SUHAKAM termasuk trend 3R itu pada tahun 2020. Sekarang trend itu menjadi trend membimbangkan apabila contohnya wujud pertembungan politik misalnya, dijadikan pertembungan agama. Situasi itu menjadikan negara dalam keadaan tidak baik.

Lebih teruk lagi, apabila kita tengok ada kritikan terbuka tanpa adab terhadap institusi diraja. Trend itu tidak sihat, maka yang menduduki jawatan nombor satu dalam polis ini harus memainkan peranannya mengawal serta menjernihkan situasi ini," tambahnya.

Beliau mengharapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, tidak berlaku perkara sedemikian bagi memastikan kelancaran proses tersebut.

Media Baharu