(Lebih 300 saringan mamogram percuma disediakan bersempena Program Minggu Kesedaran
Kanser di Labuan yang melabuhkan tirainya hari ini)
LABUAN, 22 Jun- Purata 35 orang dikesan menghidap kanser di Labuan setiap tahun.
Menurut Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Labuan, Dr. Ishvinder Singh Parmar berkata data itu amat membimbangkan.
"Saya rasa kesedaran masih kurang. Kami di Jabatan Kesihatan dengan pihak NGO dan MAKNA (Majlis Kanser Negara) juga sering buat program khidmat masyarakat untuk memupuk kesedaran. Buat masa ni memang nampak memberangsangkan tapi perlu buat ini berterusan dan diharapkan pada masa depan Labuan akan ada mamogram sendiri," kata beliau kepada media di sini.
Lebih 300 saringan mamogram percuma disediakan bersempena Program Minggu Kesedaran Kanser di Labuan yang melabuhkan tirainya hari ini.
Melalui program mamogram bergerak yang dibawa daripada kota kinabalu Sabah ke Labuan, pelbagai saringan kesihatan disediakan secara percuma, termasuk pemeriksaan kanser serviks dan kanser usus.
Program anjuran bersama MAKNA Sabah dan Lions Club Labuan itu telah diadakan selama tujuh hari dan mendapat sambutan menggalakkan warga Labuan.
(Dr. Ishvinder berkata 35 pesakit kanser dikesan di Labuan setiap tahun)