KUALA LUMPUR, 22 Jun- Perjanjian Komprehensif dan Progesif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang bakal ditandatangani United Kingdom (UK) dilihat dapat merancakkan lagi inovasi pelbagai bidang di negara.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata UK merupakan salah satu daripada lima pasaran utama yang menyumbang kepada nilai pelaburan terbesar di Malaysia iaitu 12.3 peratus.
"Ini adalah masa yang sesuai kerana United Kingdom sebuah negara yang menumpukan pada inovasi.
Ia negara ketiga terkemuka daripada segi inovasi selepas Amerika Syarikat dan China, harus melihat Malaysia sebagai hab, sebagai landasan pelancaran ke seluruh Asia Tenggara," kata Fahmi dalam ucapannya pada Majlis Makan Tengah Hari bersama Pemain Industri Pusat Data dan Pengkomputeran Awam di ibu negara hari ini.
(Foto FB Menteri)
Selain itu, Fahmi memaklumkan industri Pusat Data (DC) dan Industri Awan telah menyumbang nilai pelaburan sebanyak RM59 bilion menyasarkan pendapatan sehingga RM3.6 bilion menjelang 2025 sejajar inisiatif MyDigital.
Nilai pelaburan tersebut mampu menawarkan sebanyak 952 peluang pekerjaan manakala pendapatan yang dicapai industri ini tahun lepas telah melepasi RM2 bilion.