fb fb fb fb fb

Kubur besar di Wang Kelian: Suspek warga Thailand didakwa esok

KUALA LUMPUR, 22 Jun- Empat warga Thailand yang disyaki terlibat kes penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis esok bagi tujuan pertuduhan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan berkata kerajaan Malaysia dan Thailand menjalankan siasatan bagi mengesan dan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab susulan kejadian tersebut.

Beliau berkata Kerajaan Malaysia telah mengemukakan permintaan ekstradisi kepada Kerajaan Thailand ke atas sepuluh individu pada 6 Januari 2017.


(Foto fail PDRM)

"Sepanjang tempoh lebih enam tahun ini, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand berusaha untuk mengesan semua individu itu bagi melaksanakan proses ekstradisi.

"Hasil kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu berkenaan berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

"Kes ekstradisi ini berjalan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lalu sebelum akhirnya perintah penahanan ke atas keempat-empat individu itu dikeluarkan untuk diserahkan kepada Malaysia,"

"Berdasarkan perintah Mahkamah Rayuan Thailand ini, penyerahan keempat-empat individu terbabit telah dilaksanakan pada 22 Jun 2023", katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Malaysia amnya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan semua pihak yang terlibat dalam proses ekstradisi kes Wang Kelian ini.

"Kerajaan Malaysia juga berharap kerjasama dapat diteruskan bagi menjejaki individu lain yang terlibat untuk dihadapkan ke muka pengadilan", katanya.

Media Baharu