fb fb fb fb fb

"Sah atau tidak, yang penting datang masjid," - Idris Ahmad

KUALA LUMPUR, 10 Januari- Keputusan penjarakan saf solat di masjid tidak dibuat sewenangnya, namun mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor kesihatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, semua pihak perlu akur dan bersikap terbuka terhadap keputusan kerajaan mengenai isu tersebut.

"Apa yang lebih penting ketika ini adalah usaha mengimarahkan masjid dengan meramaikan jumlah ahli jemaah, kita tidak perlu bahaskan soal sah atau tidak,"

"Bagaimanapun, pelaksanaan solat berjemaah secara merapatkan saf boleh dilaksanakan pada masa depan, bergantung kepada kadar penurunan jangkitan COVID-19 di negara ini," jelasnya kepada pemberita selepas rakaman program terbitan RTM di Wisma Berita Angkasapuri.

Beliau turut mengambil contoh negara Arab Saudi yang kembali mengambil pendekatan sama demi kesihatan rakyat.

Dalam pada itu, Idris turut memaklumkan ,pihaknya menerusi agensi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan sebanyak RM35 juta kepada mangsa banjir menerusi Program Sentuhan Kasih MAIWP-Misi Bantuan Banjir 2.0.

Program itu turut menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan serta Terengganu.

Bantuan tambahan RM20 juta juga diperlukan bagi kerja-kerja membaik pulih kediaman terjejas.

Media Baharu