fb fb fb fb fb

Pemegang rekod MBOR, Sabri Ali jatuh bukit setinggi enam meter

KEMAMAN, 10 Januari – Seorang pejalan kaki solo cedera selepas terjatuh pada ketinggian kira-kira enam meter di sebuah bukit kawasan peranginan Telaga Simpul, Bukit Pejajat di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi, Sabri Ali, 60 tahun cedera di bahagian kepala dan pinggang selepas terjatuh akibat daripada tali yang digunakan terputus ketika pendakian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata mangsa dikatakan keluar sejak awal pagi untuk melakukan pendakian secara berseorangan.

"Mangsa bernasib baik kerana terdapat pendaki lain di kawasan itu, melihat kejadian tersebut dan menghubungi pasukan keselamatan", katanya.

Operasi menyelamat mangsa mengalami sedikit kesukaran kerana keadaan bukit berbatu dan curam.

Menurut Zailani lagi, pasukan bomba terpaksa menggunakan bot untuk membawa mangsa berikutan lokasi mangsa jatuh berdekatan pantai dan laluan darat lebih berisiko.

Mangsa telah diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

"Operasi menyelamat mengambil masa satu jam, dengan kekuatan anggota seramai 17 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai dan Kemaman" kata Zailani kepada RTM.

Sabri Ali, merupakan pemegang 'Malaysia Book of Records' bagi Pejalan Kaki Solo Terjauh selepas berjaya menamatkan jarak perjalanan sejauh 2,109.17 kilometer melalui 49 lokasi merentasi 14 negeri pada 2016.

 

Media Baharu