KOTA KINABALU, 19 Januari- Sebanyak tiga memorandum persefahaman dimetrai antara kerajaan Sabah dengan pelabur bagi pelaksanaan tiga projek bernilai kira-kira RM4.3 bilion.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan pemeteraian MoU itu sebagai petanda baik bagi melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sabah.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus berusaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan tumpuan tiga sektor iaitu, pertanian, perindustrian dan pelancongan.
Pemeteraian dokumen disaksikan Datuk Seri Hajiji dengan MoU pertama antara Yayasan Sabah dengan Pavilion Kota Kinabalu Sdn Bhd bagi projek bandar raya Pavilion Harbour City dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM2 bilion.
"Jadi dengan pelaburan atau projek yang dijalankan nanti yang dibangunkan tentunya beri peluang luas untuk menjana ekonomi Sabah dan peluang pekerjaan seperti yang tadi kita saksikan MoU diantara Pavillion City dengan kerajaan negeri Yayasan Sabah, ianya memperuntukan ' investment' lebih kurang RM2 billion ke RM3 billion dan bakal buka peluang pekerjaan lebih kurang 3,000 ke 4,000 orang," katanya.
MoU kedua pula, antara Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dengan syarikat pelaburan China, King Solar New Materials Sdn Bhd bagi membangunkan kilang memproses pasir silica dan menghasilkan panel solar dengan pelaburan permulaan RM2 billion.
MoU ketiga membabitkan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah dan Borneomed Sdn Bhd bagi projek Ladang Herba Bersepadu Sabah dengan pelaburan bernilai RM350 juta.