fb fb fb fb fb

JPJ Perlis sita kenderaan klon

KANGAR, 19 Januari - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis berjaya mengesan dan menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang disyaki kenderaan klon.

Operasi Khas Kenderaan Klon yang dijalankan oleh Unit Operasi JPJ Perlis berjaya menahan kenderaan tersebut di Kilometer 13 Jalan Changlun - Kuala Perlis.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata ketika ditahan kenderaan tersebut dipandu oleh seorang wanita dan siasatan awal mendapati kereta itu dibeli oleh suaminya daripada seorang lelaki warga asing.

"Kenderaan tersebut disita bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Wanita tesebut dikenakan tindakan saman bagi kesalahan tiada lesen memandu, mempamerkan nombor kenderaan lain, mempamerkan lesen kenderaan motor kenderaan lain serta menggunakan kenderaan yang tidak didaftarkan dan tiada perlindungan insurans.

"Semua kesalahan tersebut dikenakan bawah seksyen 26, 108(3)(F), Seksyen 7 dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika ditemui dalam operasi itu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika membuat urusan pembelian kenderaan motor supaya tidak tertipu dengan sendiket penjualan kenderaan klon yang berleluasa pada ketika ini.

Media Baharu