fb fb fb fb fb

Sabah nyatakan komitmen, perkukuh ekosistem TVET untuk belia

Foto hiasan

KOTA KINABALU, 9 Julai -Kerajaan Negeri Sabah menyatakan komitmen penuh dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan belia negeri itu lebih berdaya saing serta keluar daripada kitaran pengangguran.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan Majlis TVET Sabah pada Mei lalu merupakan anjakan penting dalam pembangunan modal insan negeri ini.

"TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan kedua.

"Sebaliknya, ia mesti diterima sebagai pilihan arus perdana dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran, membuka peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam bersempena dengan Simposium TVET Sabah di sini.

Menurut Datuk Seri Hajiji, Sabah kaya dengan potensi dalam sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan serta pembuatan, namun kemajuan itu memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri.

Selain itu belia di Sabah diseru agar melihat TVET sebagai laluan kerjaya utama kerana kursus yang ditawarkan selari dengan kehendak pasaran semasa dan menjamin kebolehpasaran graduan.

Buktinya kadar pengangguran negeri itu menurun daripada 8.2 peratus pada 2021 kepada 7.5 peratus pada 2023.

Namun begitu, beliau mengakui cabaran masih wujud apabila 58.6 peratus penganggur di Sabah terdiri daripada belia berumur 15 hingga 24 tahun, manakala lebih separuh hanya berpendidikan sehingga peringkat menengah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI