fb fb fb fb fb

ECRL Terengganu lebih 91 peratus siap

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar/Foto BERNAMA

BESUT, 9 Julai -Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri Terengganu mencatat kemajuan kerja sebanyak 91.79 peratus, menjadikannya negeri yang paling pantas dalam pelaksanaan projek infrastruktur mega tersebut setakat ini.

Secara keseluruhan, projek ECRL di seluruh negara telah mencapai 84.59 peratus kemajuan setakat Jun 2025.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri akan terus memberikan komitmen penuh dalam memudahkan segala urusan teknikal dan pentadbiran melibatkan syarikat pelaksana, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan kontraktor utama dari China, China Communications Construction Company (CCCC).

“Terengganu kekal sebagai negeri paling cepat dalam pelaksanaan ECRL. Kerajaan negeri akan terus bantu MRL dan CCCC untuk pastikan projek berjalan lancar dan siap mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak ke Stesen ECRL Jerteh bersama wakil MRL dan CCCC, di sini, hari ini.

Menurut beliau, perbincangan turut dijalankan antara Kerajaan Negeri, MRL dan agensi berkaitan bagi merancang pembangunan Transit-Oriented Development (TOD) di enam stesen utama di negeri itu, bagi memberi manfaat maksimum kepada penduduk setempat.

“Gerak pembangunan TOD ini agak mencabar kerana ia tidak dimasukkan dalam Rancangan Malaysia dan juga tidak diperuntukkan dalam bajet di peringkat Persekutuan.

“Oleh itu, perkara ini mungkin akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan untuk mendapatkan pandangan dan sokongan beliau,” jelas Ahmad Samsuri.

Bagi Stesen ECRL Jerteh, kemajuan fizikal kini telah mencecah lebih 51.8 peratus, termasuk elemen perancangan yang mengambil kira risiko banjir musim tengkujuh serta ciri geografi kawasan sekeliling.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI