fb fb fb fb fb

Sabah catat penduduk terjejas banjir tertinggi

(Foto FB Apm Sandakan)

KUALA LUMPUR, 26 Disember- Sabah menjadi negeri paling terjejas banjir ketika ini, selepas Kelantan merekodkan pengurangan jumlah penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat petang ini.

Menurut infografik Portal Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), setakat pukul 4.00 petang ini, selain Sabah dan Kelantan, tiga negeri lain iaitu Sarawak, Terengganu dan Perak juga masih dilanda banjir yang merekodkan seramai 3,499 orang daripada 975 keluarga yang berlindung di 21 PPS di seluruh negara.

Infografik tersebut memaklumkan, Sabah dengan 1,647 orang daripada 371 keluarga yang berlindung di 10 PPS, diikuti Kelantan dengan 1,511 orang daripada 515 keluarga di enam PPS.

Sementara itu, kurang dua PPS masih dibuka di Sarawak, Terengganu dan Perak yang melindungi 341 penduduk terjejas banjir.

"Sarawak dengan 141 orang daripada 34 keluarga di satu PPS, diikuti Terengganu dengan 138 orang daripada 41 keluarga di dua PPS, manakala Perak dengan 62 orang daripada 14 keluarga di satu PPS," menurut infografikĀ itu.

(Foto FB APM Pitas)

Media Baharu