KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mahu siasatan kes buli melibatkan seorang murid di Johor disegerakan dengan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Menurut Fadhlina, tiada kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Ia mesti dikendalikan dengan adil dan telus berdasar kepada garis panduan yang telah ditetapkan," tegasnya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah menziarahi murid berkenaan yang sedang mendapatkan rawatan di hospital, manakala siasatan sedang dilakukan.
"Saya doakan semoga anak ini diberi kesembuhan segera," katanya.