fb fb fb fb fb

Lesen kedai makan tular tikus jamah ayam goreng dibatalkan - MPAJ

 (Tangkap layar Twitter @zoeyhanafiah)

AMPANG JAYA, 26 Disember- Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) serta-merta terhadap sebuah premis, susulan kejadian tular seekor tikus menjamah ayam goreng, baru-baru ini.

Yang Dipertua MPAJ, Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, langkah itu diambil selaras dengan Notis Perintah Tutup yang diambil Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Sabtu lalu.

"Sekiranya premis masih beroperasi setelah notis ini dikeluarkan, tindakan sitaan akan dijalankan.

“Permohonan lesen baru hanya akan dipertimbangkan sekiranya semua syarat terutamanya berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan kebersihan premis makanan dari segi kawasan penyajian dan penyediaan makanan serta kawalan serangga perosak di premis juga dijalankan secara berkala oleh MPAJ.

Mohd. Fauzi menambah, rekod pemeriksaan lalu menyatakan penarafan kebersihan premis tersebut adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru adalah pada Januari 2022.

“MPAJ sentiasa memantau kawalan kebersihan setiap premis makanan bagi memastikan syarat-syarat dan peraturan-peraturan sentiasa dipatuhi.

"Orang ramai boleh melaporkan aduan berkaitan kebersihan premis di kawasam MPAJ melalui pautan http://aduan.mpaj.gov.my." katanya.

Terdahulu, KKM mengarahkan kedai makan tersebut ditutup serta-merta selama 14 hari.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) menjalankan siasatan berhubung video tular berkenaan dan mengenal pasti lokasi premis terlibat berada di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

(Foto FB Majlis Perbandaran Ampang Jaya - Rasmi)

Media Baharu