fb fb fb fb fb

Status LPB antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Isu penyeludupan daging khinzir, status pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) serta trend peletakan jawatan doktor dan jururawat di fasiliti kesihatan awam antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) pada sesi soal jawab lisan membangkitkan persoalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai tindakan penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) terhadap penyeludupan haram daging khinzir yang berpotensi membawa wabak Streptococcus suis dan African Swine Fever.

Sim turut meminta penjelasan mengenai jumlah tangkapan yang telah dibuat ke atas aktiviti penyeludupan haram daging khinzir sepanjang tahun ini.

Pada sesi sama, Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan status kajian kebenaran aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) serta garis masa untuk kajian dimuktamadkan.

Sementara itu, Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) mengemukakan soalan kepada Menteri Kerja Raya berkenaan status terkini dan garis masa secara terperinci setiap fasa pembinaan LPB, khususnya bagi jajaran WP01 (Sindumin-Melalia) dan WP02 (Melalia-Beaufort).

Wong Shu Qi (PH-Kluang) pula meminta Menteri Kesihatan memperincikan jumlah doktor dan jururawat yang meletak jawatan serta jumlah pengambilan baharu bagi tempoh 2020 hingga 30 Jun 2025, selain langkah yang diambil untuk mengatasi masalah kekurangan kakitangan di hospital kerajaan.

Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh menteri-menteri berkaitan.

Seramai 161 Ahli Parlimen telah menyertai sesi perbahasan RMK13 yang berlangsung selama lapan hari bermula dari 4 Ogos lepas.

RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 31 Julai lepas, dengan peruntukan pelaburan RM611 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos. -BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM