
KUALA LUMPUR, 10 Februari – Mekanisme penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 melalui kad pengenalan atau MyKad disifatkan sebagai satu pendekatan yang inklusif dan cekap.
- Mekanisme MyKad membolehkan penyaluran SARA terus tanpa bergantung kepada akaun bank, sesuai untuk B40 dan penduduk luar bandar.
- Proses agihan lebih cekap dan memudahkan pemantauan, seterusnya meningkatkan tahap kepercayaan rakyat terhadap bantuan kerajaan.
- Bantuan RM100 memberi impak signifikan kepada B40, sokongan simbolik kepada belia, serta rangsangan kecil tetapi pantas kepada ekonomi tempatan.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mazlan Che Soh berkata, kaedah tersebut membolehkan bantuan disalurkan secara terus tanpa kebergantungan kepada akaun bank, yang tidak dimiliki oleh semua rakyat, khususnya golongan B40 dan penduduk luar bandar.
“Langkah ini dilihat bukan sahaja memudahkan pemantauan, malah mempercepatkan proses agihan serta meningkatkan tahap kepercayaan rakyat terhadap sistem penyampaian bantuan kerajaan.
“Dari segi kesannya, khususnya kepada golongan B40, M40 dan belia, bantuan ini memberi impak yang paling ketara kepada golongan B40, apabila peruntukan sebanyak RM100 disifatkan signifikan dalam membantu menampung keperluan harian”, katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Tambah beliau, bagi golongan belia, bantuan tersebut bukan sekadar menyediakan sokongan kewangan minimum, malah membawa mesej jelas bahawa kerajaan peka terhadap cabaran kos sara hidup yang dihadapi golongan muda, termasuk gaji permulaan yang rendah serta peningkatan kos kehidupan di kawasan bandar.
Sementara itu, dari perspektif ekonomi makro, Bantuan SARA RM100 dijangka memberi rangsangan berskala kecil tetapi pantas kepada ekonomi tempatan.
Untuk rekod, SARA merupakan bantuan tunai yang dikreditkan ke dalam MyKad penerima yang layak bagi pembelian meliputi lebih 140,000 barangan asas dalam 15 kategori di lebih 10,000 kedai dan pasar raya terpilih seluruh negara.