fb fb fb fb fb

KPDN gagalkan taktik penyeludup guna nombor pendaftaran palsu

Foto KPDN Kedah

KUALA NERANG, 18 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Alor Setar berjaya menghidu taktik licik penyeludup dengan memasang nombor pendaftaran Malaysia di kenderaan mereka untuk membeli minyak diesel di negara ini.
 
Taktik tersebut berjaya dikesan selepas KPDN Alor Setar menahan sebuah kenderaan jenis pikap di Kuala Nerang, Padang Terap pada Sabtu lalu.
 
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata hasil maklumat dan pemantauan yang dilakukan, kenderaan terbabit didapati sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak berkenaan sebelum bergerak ke bahagian belakang stesen minyak setelah pengisian dilakukan.
 
Pemantauan lanjut mendapati pemilik kenderaan tersebut bertindak licik dengan menukarkan nombor pendaftaran tempatan yang disyaki palsu kepada nombor pendaftaran asal kenderaan tersebut yang berpendaftaran asing setelah mengisi minyak di stesen berkenaan.
 
"Penguat kuasa KPDN kemudian membuat serbuan ke atas kenderaan tersebut dan hasil pemeriksaan telah menemui sejumlah minyak disyaki diesel yang disimpan dalam tangki kenderaan tersebut yang telah diubah suai.
 
"Seorang wanita warga Thailand berumur dalam lingkungan 40-an yang memandu kenderaan pikap tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut. Pemeriksaan susulan telah dilakukan ke atas stesen minyak berkenaan.
 
"Berdasarkan cetakan semula resit jualan mendapati, stesen minyak tersebut telah menjual sebanyak 273 liter minyak diesel dalam satu transaksi kepada kenderaan tersebut dan telah melanggar Arahan Pengawal Bekalan berhubung had penjualan kepada kenderaan berpendaftaran tempatan dalam satu hari.
 
"Kertas siasatan turut dibuka terhadap stesen minyak berkenaan," katanya menerusi kenyataan.
 
Pasukan serbuan seterusnya telah menyita minyak disyaki diesel dianggarkan sebanyak 273 liter bernilai lebih RM791, kenderaan terbabit, resit belian dan dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut.
 
Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM30,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
 
Bagi individu, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
 
Manakala bagi syarikat, denda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta.
 
KPDN menegaskan bahawa pihak kementerian akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menyeleweng barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.
 
Tindakan itu adalah sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan bersubsidi.

KPDN amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM