fb fb fb fb fb

Kolaboratif Arkib Negara, pereka fesyen semarakkan Bulan Kemerdekaan

Pertunjukan fesyen edisi Merdeka itu berlangsung sepanjang pameran dengan pengisian tambahan daripada Arkib Negara yang turut mempamerkan sejarah pakaian tradisional Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Arkib Negara dengan kerjasama pereka fesyen tempatan menganjurkan pertunjukan fesyen di pusat beli belah Fahrenheit 88, Kuala Lumpur, bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Pertunjukan itu menampilkan keindahan warisan budaya melalui rekaan moden dan kontemporari.

Menurut pereka fesyen, Izwani Salim, kolaborasi tersebut memberi nilai tambah kerana bukan sahaja mengetengahkan pakaian tradisional, malah mempersembahkannya dalam gaya lebih segar.

“Contohnya baju kurung bukan sekadar dipakai ke majlis kenduri, tetapi boleh digayakan ke pusat beli-belah. Begitu juga sari, yang sering menarik perhatian pelancong luar. Ia menjadikan kita lebih bangga mempromosikan fesyen tradisional,” katanya.

Sementara itu, model Evelyn Nadal berkata, pertunjukan fesyen ini menonjolkan kepelbagaian budaya Malaysia yang hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

“Fesyen mampu memperlihatkan keindahan kepelbagaian budaya Malaysia Madani,” katanya.

Bagi Pengarah ARP Elite Model, David Armugam, acara kali ini menghimpunkan 20 model dengan kerjasama lima hingga enam pereka fesyen tempatan.

Pertunjukan fesyen edisi Merdeka itu berlangsung sepanjang pameran di Fahrenheit 88 dengan pengisian tambahan daripada Arkib Negara yang turut mempamerkan sejarah pakaian tradisional Malaysia.

Program tersebut dibuka kepada orang ramai sehingga 31 Ogos, sebagai ruang menghayati semangat kemerdekaan dan kepelbagaian budaya negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE