fb fb fb fb fb

Buli perlu diberi perhatian serius, dihentikan segera – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Kegiatan buli adalah penderaan psikologi dan fizikal yang disifatkan merosakkan budaya serta masa depan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perbuatan itu perlu diberi perhatian serius dan dihentikan segera.

Beliau merujuk beberapa kes kematian pelajar, termasuk kes pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir di Sabah, serta kes pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris di Kelantan, 12 tahun lalu.

"Buli ini penderaan psikologi, fizikal, sama ada di sekolah, di universiti, di pejabat, di kementerian kesihatan harus dihentikan.

"Ini budaya, merosakkan budaya, kebejatan, jenis penghinaan sama ada atas peribadi seseorang itu, warna kulitnya, daripada segi kelas dan pelbagai alasan. Tapi saya harap budaya ini dapat dihentikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bulan Ogos di sini.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan memandang serius kes membabitkan Zara Qairina dan akan terus berusaha menanganinya dengan telus serta segera, meskipun terdapat kelewatan dan kekhilafan dalam proses siasatan.

"Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengeluarkan kenyataan, manakala mesyuarat tertinggi kerajaan telah diadakan bagi memastikan siasatan berjalan telus," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM