fb fb fb fb fb

LKIM minta nelayan daftar dengan persatuan untuk bantuan

(Kira-kira 30,000 nelayan di seluruh negara belum berdaftar dengan
persatuan diiktiraf LKIM)

TUMPAT, 26 Disember- Nelayan di seluruh negara diminta mendaftar dengan persatuan yang diiktiraf Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memudahkan bantuan dihulurkan sekiranya mereka ditimpa musibah.

Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othman berkata, keengganan mereka berbuat demikian akan menyukarkan pihaknya untuk membantu nelayan terlibat secara lebih berkesan.

Yusoff menambah, golongan itu juga bakal menerima pelbagai manafaat dan faedah yang disediakan kerajaan dengan menjadi ahli persatuan tersebut.

Jelas beliau, dianggarkan masih terdapat kira-kira 30,000 nelayan yang belum berdaftar di seluruh negara.

"Saya sangat berharap agar golongan nelayan berdaftar dengan persatuan yang diiktiraf LKIM bagi memudahkan pihak LKIM dan kerajaan membantu nelayan, khususnya jika dilanda bencana.

"Kita nak dapat data, data ini untuk kita pastikan semua nelayan terbela, tiada yang tercicir," katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan menerusi Program Jiwa Murni LKIM kepada 33 nelayan dari Tumpat yang terjejas dengan banjir di Kompleks LKIM Geting, di sini.

Hadir sama dalam program itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan LKIM, Hamdan Mamat dan Pengarah LKIM Negeri, Khuzaimah Husain.

Dalam perkembangan lain, Yusoff berkata, walaupun terdapat 1,250 nelayan terkesan dengan banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan, namun ia tidak menjejaskan bekalan stok ikan di ketiga-tiga negeri tersebut.

Ujarnya, biarpun pendaratan ikan di tiga negeri itu berlaku sedikit pengurangan tetapi LKIM akan mengeluarkan stok ikan segar beku (QFish) bagi menstabilkan bekalan,

Dalam perkembangan sama, beliau turut meminta nelayan yang mengalami kerosakan bot dan peralatan menangkap ikan akibat bencana banjir supaya membuat laporan polis bagi memudahkan proses permohonan bantuan peralatan baharu agar aktiviti mereka tidak terjejas.

 
(Yusoff Othman bercakap dalam sidang media Program Jiwa Murni LKIM
di Kompleks LKIM Geting, Tumpat)

 

Media Baharu