fb fb fb fb fb

74 sekolah di Terengganu terjejas banjir - JPNT

(Usaha membersihkan sekolah terjejas banjir di Terengganu giat dijalankan bagi memastikan sesi persekolahan
dapat bermula pada 1 Januari depan )

BESUT, 26 Disember- Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) merekodkan 74 buah sekolah terjejas akibat banjir besar, baru-baru ini.

Pengarah JPNT, Abdul Muin Ngah ketika dihubungi berkata jumlah itu direkodkan setakat pukul 10.00 pagi tadi.

Jelas beliau, banjir di semua sekolah terlibat telah surut dan ketika ini sedang dalam proses pembersihan.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di Hulu Besut mendapati proses pembersihan rancak dijalankan dengan bantuan pelbagai pihak termasuk kakitangan JPNT dan Sukarelawan Muafakat Bersama Gemilang (MBG).

Sukarelawan MBG merupakan gabungan empat syarikat persendirian yang dianggotai oleh 30 orang ahli terdiri daripada bekas guru, guru, kontraktor, petugas kesihatan dan kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan.

Sukarelawan MBG tiba semalam dengan membawa peralatan pembersihan menggunakan empat buah pacuan empat roda, sebuah lori tiga tan dan lima unit enjin.

Setiausahanya, Mohd Fadli Yaakob berkata pihaknya digerakkan selepas mendapati Hulu Besut terjejas teruk akibat banjir gelombang kedua.

Beliau yang juga merupakan guru di SK Bente Kuala Lipis berkata, misi akan dijalankan mereka sehingga Rabu ini bagi memastikan sesi persekolahan dapat bermula pada 1 Januari depan di Terengganu.

"Sukarelawan MBG ditubuhkan selepas kami menjadi penduduk terjejas banjir pada 2021.

"Ketika itu banjir besar melanda Bente, yang menenggelamkan SK Bente Kuala Lipis sehingga setinggi dua tingkat dan daripada peristiwa itu, timbul ilham menubuhkan sukarelawan ini.

"Paling penting kami cuba untuk tidak menyusahkan tuan rumah kerana semua peralatan dan kelengkapan pembersihan kami bawa sendiri," katanya di sini.

Dalam pada itu, bantuan yang dihulurkan oleh pihak itu amat dihargai Guru Besar SK Kampung La, Hasnah Musa yang mengakui banjir besar kali ini berlaku di luar jangkaan.

"Ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang datang membantu membersihkan kawasan sekolah," katanya.

Sementara itu, Abdul Muin berkata, lebihan kerusi dan meja dari sekolah-sekolah lain akan dihantar ke sekolah yang memerlukan, manakala pihak kementerian akan membuat penggantian buku teks yang rosak dengan kadar segera.

"Komputer dan komputer riba yang rosak juga akan diganti syarikat terlibat," katanya.

Beliau juga optimis sesi persekolahan pada 1 Januari ini akan berjalan lancar termasuk di sekolah terjejas banjir.

Terdahulu, SK Kampung La terjejas teruk selepas ditenggelamkan banjir setinggi 1.7 meter.

 (SK Kampung La antara sekolah di Terengganu yang terjejas susulan banjir)

Media Baharu