fb fb fb fb fb

Mohamad bertemu Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Maria Theresa P. Lazaro (kiri) dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan/ Wisma Putra

KUALA LUMPUR, 8 Julai -Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Maria Theresa P. Lazaro di luar sidang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan hari ini.

Wisma Putra menerusi hantaran Facebook memaklumkan pertemuan itu diadakan bagi menilai status kerjasama dua hala antara kedua-dua negara yang telah dibincangkan semasa Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina pada Oktober 2024.

"Kedua-dua pihak turut memperbaharui komitmen untuk bekerjasama dalam bidang-bidang yang memberi faedah kepada kedua-dua negara," menurut hantaran itu.

Terdahulu, Datuk Seri Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Sekretariat Asean dalam kenyataan memaklumkan, perbincangan kedua-dua pihak tertumpu kepada usaha memperkukuh pembangunan Komuniti ASEAN, selaras dengan keutamaan dan hasil utama yang ditetapkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

Dr Kao juga mengesahkan komitmen Sekretariat Asean untuk terus menyokong peranan Malaysia dan semua negara anggota dalam mencapai matlamat dan objektif utama seperti digariskan dalam Visi Komuniti Asean2045.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI