GENEVA, 8 Julai - Kejayaan Malaysia dalam pembangunan sektor telekomunikasi mendapat perhatian negara-negara Afrika yang kini berminat menjadikannya sebagai model rujukan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, minat itu disuarakan dalam mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatan dari Algeria, Sid Ali Zerrouki dan Senegal, Alioune Sall.
Kedua-dua negara itu menyatakan minat mendalam untuk mempelajari pendekatan Malaysia dalam membina infrastruktur digital dan melaksanakan transformasi digital.
"Mereka ingin melihat dan melakukan benchmarking cara Malaysia melaksanakan perancangan infrastruktur telekomunikasi. Dalam banyak perbincangan, mereka sangat kagum yang Malaysia telah capai 98% liputan untuk 4G, 82% untuk 5G dan tahap penggunaan 5G mencecah 80% daripada pengguna internet," katanya selepas mesyuarat dua hala tersebut, sempena Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Masyarakat Bermaklumat di sini.
Datuk Fahmi berkata, langkah susulan ialah memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara kementerian dan agensi berkaitan dengan negara-negara terlibat, khususnya dalam aspek peraturan dan kawal selia sektor telekomunikasi dan internet.
Beliau turut memaklumkan bahawa program seperti NADI yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menjadi antara rujukan utama dalam perbincangan.
Algeria juga menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam isu keselamatan siber, selain menjemput Malaysia sebagai pemerhati dalam platform Smart Africa.
"Di pihak Algeria, mereka berhasrat untuk menjemput Malaysia untuk menjadi pemerhati dalam perbincangan dalam platform Smart Africa yang saya rasa satu platform yang menarik dan sangat berpotensi dan sudah pasti Malaysia sebagai negara yang tidak berpihak yang menggunapakai teknologi dari samada barat maupun timur, banyak yang boleh kita ceritakan, banyak pengalaman yang boleh kita kongsikan.
"Kejayaan dan cabaran dalam melaksanakan terutama rangkaian 5G dalam bentuk sama ada rangkaian borong tunggal, single wholesale network mahu pun dua rangkaian seperti yang kita ada sekarang," katanya.
Selain Algeria dan Senegal, beliau turut mengadakan pertemuan dengan wakil dari Ghana, Samuel Nartey George.