fb fb fb fb fb

Malaysia yakin peranan Norway dalam usaha keamanan, peralihan iklim ASEAN

Datuk Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 8 Julai -Malaysia menyatakan keyakinan bahawa Norway mampu memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada usaha pembinaan keamanan melalui pelbagai inisiatif selaras dengan komitmen negara itu terhadap undang-undang antarabangsa dan multilateralisme.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia menghargai pendekatan berprinsip Norway yang konsisten dalam menegakkan nilai-nilai sejagat serta keterlibatannya dalam kerjasama dengan ASEAN.

"Kami percaya kerjasama ASEAN-Norway berpotensi memberikan sumbangan bermakna kepada keamanan dan kestabilan bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga di peringkat global, khususnya melalui mekanisme pembinaan keamanan yang dipimpin ASEAN.

"Selain itu, Malaysia turut menghargai penglibatan aktif Norway dalam menyokong peralihan iklim ASEAN, tadbir urus laut yang lestari dan pengurusan sisa yang mana amat relevan serta memberi impak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pembukaan mesyuarat tiga hala antara Malaysia, Norway dan Sekretariat ASEAN sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Norway, Andreas Motzfeldt Kravik dan Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Politik Keselamatan ASEAN, Datuk Astanah Abdul Aziz.

Terdahulu, ASEAN dan Norway telah mencapai kemajuan ketara menerusi Pelan Tindakan Kerjasama Praktikal (PCA) 2021–2025 yang sedang berlangsung.

Menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Malaysia akan terus berusaha membangunkan Pelan Tindakan Kerjasama Praktikal lebih mantap dan progresif bagi tempoh 2026–2030.

Malaysia juga mengalu-alukan minat Norway untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi digital, perdagangan, serta penglibatan sektor swasta yang dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi mampan di rantau ASEAN.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan luar ASEAN-Norway dan berharap kerjasama tersebut akan terus diperkembangkan dalam tahun-tahun mendatang demi manfaat bersama.

Dalam perkembangan sama, Andreas berkata, Norway bersedia untuk menyokong usaha ASEAN dalam menangani krisis kemanusiaan di Myanmar.

Beliau juga turut memuji dan menghargai usaha Malaysia termasuk negara-negara anggota ASEAN dalam menangani krisis tersebut.

"Sebagai rakan jangka panjang dalam keamanan, demokrasi dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar, Norway bersedia menyokong usaha anda," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI