KUALA LUMPUR, 8 Julai - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarahkan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merangka pendekatan paling berkesan menangani penularan fahaman radikal dan ekstremisme dalam kalangan warga asing di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, arahan itu susulan penahanan seorang warga Bangladesh yang disyaki terlibat dalam kegiatan militan baru-baru ini.
“Di Malaysia, polis kita boleh mengambil pendekatan untuk menghalang. Tapi saya difahamkan mereka ini bergerak dengan niat, contohnya, untuk menjatuhkan kerajaan negara asal mereka.
Sekiranya melalui kerjasama ini kita dapat memulihkan fahaman mereka dan membawa mereka kembali kepada ajaran Islam berteraskan wasatiyah, kita bukan sahaja menjamin keselamatan negara, tetapi juga membantu mengelakkan usaha menjatuhkan kerajaan mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Zakat Korporat 2025 di ibu negara.
Menurut beliau, JAKIM telah pun membangunkan modul khusus untuk membendung fahaman ekstremisme serta ideologi yang boleh mengganggu gugat keharmonian masyarakat.
Pelbagai inisiatif seperti seminar, ceramah dan khutbah mingguan turut giat dilaksana, bagi mendidik masyarakat berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan keharmonian sejagat.