KUALA LUMPUR, 8 Julai -Malaysia yakin ASEAN dan Brazil berupaya membina perkongsian teguh dalam memperjuangkan multilateralisme, sekali gus memperkukuh keamanan dan kestabilan di peringkat global.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, keyakinan tersebut berlandaskan kepada aspirasi serupa yang dikongsi kedua-dua pihak.
Ia terutama dalam memastikan nilai-nilai kemanusiaan terus menjadi tunjang kepada hubungan antarabangsa.
“Seperti ASEAN, blok BRICS turut menegaskan prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain, penyelesaian secara aman terhadap konflik, serta menekankan kepentingan keterangkuman sosial dan kelestarian," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pembukaan mesyuarat tiga hala antara Malaysia, Brazil dan Sekretariat ASEAN sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.
ASEAN dan Brazil mengamalkan pendekatan konsensus dalam membuat keputusan, yang mencerminkan nilai inklusiviti, saling menghormati dan kesaksamaan antara negara anggota.
“Nilai-nilai ini menjadi asas penting kepada kerjasama strategik antara ASEAN dan Brazil, khususnya dalam memperkukuh diplomasi, dialog dan penyelesaian damai bagi menghadapi cabaran dunia yang semakin terdedah kepada keganasan," katanya lagi.
Justeru, Malaysia menegaskan, suara kolektif ASEAN dan Brazil berupaya memainkan peranan penting dalam memperjuangkan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap pelbagai konflik di peringkat antarabangsa.
Keyakinan itu turut merangkumi penyelesaian terhadap konflik di Syria dan Palestin, terutamanya di Gaza.
Turut hadir Setiausaha Agung Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brazil, Maria Laura da Rocha dan Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Datuk Astanah Abdul Aziz.