fb fb fb fb fb

Malaysia, pembeli minyak sawit global perkukuh hubungan

Sesi Trade Networking bersama pembeli sawit global dari 23 negara berlangsung di Petaling Jaya.

PETALING JAYA, 8 Julai - Malaysia terus memperkukuh hubungan dengan pembeli minyak sawit global dari 23 negara termasuk dari Afrika Selatan, Asia Barat, Eropah Timur dan ASEAN.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia direalisasi menerusi sesi Trade Networking melibatkan 59 pembeli sawit berlangsung di Petaling Jaya, hari ini.

Menurutnya, Inisiatif itu adalah yang pertama seumpamanya dan membuka ruang perbincangan secara langsung antara pembeli dan kerajaan.

“Ini pertama kali kita jemput mereka datang ke Malaysia untuk berbincang secara terus. Kita mahu dengar sendiri isu dan keperluan mereka, contohnya masalah janji eksport yang tak ditunaikan atau isu kualiti,” katanya.

Datuk Seri Johari mencadangkan agar program itu dijadikan acara tahunan bagi memastikan komunikasi dua hala yang berterusan dan efektif antara pembeli serta kementerian atau agensi berkaitan.

Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia terhadap kelestarian, termasuk jaminan tidak akan membuka kawasan hutan baharu bagi penanaman kelapa sawit.

“Kita kekal dengan 5.7 juta hektar tanah yang sedia ada. Fokus kita adalah pada peningkatan produktiviti, amalan pertanian mampan dan penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi. Semua eksport wajib patuh kepada pensijilan MSPO,” katanya.

Menurut beliau, kira-kira 15 juta tan metrik daripada 19.3 juta tan metrik minyak sawit dihasilkan negara adalah untuk pasaran eksport menjadikan penjagaan kualiti dan keyakinan pembeli sebagai keutamaan utama industri.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN