KUALA LUMPUR, 8 Julai -Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) komited mencari jalan damai bagi menangani isu hak asasi manusia di seluruh rantau Asia Tenggara.
Pengerusi AICHR, Datuk Edmund Bon Tai Soon berkata, usaha itu antara deklarasi utama yang dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober depan.
Malaysia mengorak langkah penting dalam memperkukuh agenda hak asasi manusia serantau apabila memimpin usaha dua deklarasi utama yang dijangka dimuktamadkan pada sidang itu.
"Ini hak istimewa ASEAN yang tidak ada dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat. Ia meliputi pembangunan politik, sosial, budaya dan ekonomi. Jika berjaya, kita akan buat sejarah dengan dua deklarasi dalam satu tahun – kali pertama sejak 13 tahun lalu.
"Kita menerima sokongan besar terhadap deklarasi ini dan jika ia diterima pada Oktober nanti, ia bakal menjadi deklarasi hak asasi kedua ASEAN sejak 2012," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di ibu negara.
Beliau turut menekankan bahawa tujuan utama AICHR tahun ini adalah untuk menjadikan hak asasi lebih dekat dengan rakyat, bukan sekadar dokumen di atas kertas.
"Setiap orang di ASEAN harus dapat menggunakan deklarasi ini sebagai pelindung hak mereka," katanya lagi.
Selain itu, AICHR kini sedang membangunkan rangka kerja serantau untuk menangani konflik seperti di Myanmar dan kawasan panas lain secara lebih sistematik.
"Kita sedang cuba wujudkan satu template ASEAN – satu kerangka tetap yang boleh digunakan bila-bila masa ada konflik. Kita mahu ASEAN ada suara bersama dalam isu keamanan," jelas beliau.
Sejak 2010, AICHR telah menerima 131 surat aduan daripada badan bukan kerajaah (NGO) dan mangsa pelanggaran hak asasi – menyerupai fungsi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Malaysia.
Dalam cadangan terbaharu, Malaysia mencadangkan 18 November depan diiktiraf sebagai Hari Hak Asasi ASEAN, bersempena dengan ulang tahun pengisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) pada tahun 2012.