KUALA LUMPUR, 18 Ogos - 37 belia Malaysia akan menyertai pertandingan WorldSkills ASEAN 2025 dalam 23 bidang kemahiran yang akan berlangsung di Manila dari 25 hingga 30 Ogos ini.
Peserta terdiri daripada golongan belia berusia 21 tahun ke bawah, merangkumi wakil dari institut latihan kemahiran awam dan swasta, serta institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.
Menurut, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Zuleah Darsong, semua peserta telah melalui proses pemilihan rapi menerusi pertandingan peringkat kebangsaan, WorldSkills Malaysia Belia 2024, dengan juara pingat emas dan perak dipilih untuk mewakili negara.
“Mereka telah menjalani latihan intensif sejak Januari 2025 di institut latihan masing-masing serta industri.
Selain itu, peserta turut diberi suntikan motivasi melalui kem motivasi, ceramah kepimpinan, serta dorongan daripada ketua agensi dan Timbalan Menteri yang berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Tambah beliau, penyertaan Malaysia di pentas antarabangsa itu menjadi peluang penting untuk membandingkan aras latihan kemahiran dengan negara lain, selain membuka ruang memperkukuh kerjasama dengan industri dan institusi luar negara.
Pertandingan ini dijangka bukan sahaja menguji keupayaan teknikal belia Malaysia, malah turut memperkukuh imej Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara di peringkat antarabangsa.