fb fb fb fb fb

MAQIS gagalkan 24 cubaan seludup daging khinzir setakat Julai lalu

Datuk Seri Arthur Joseph Kurup / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Sebanyak 24 kes cubaan penyeludupan haram daging khinzir dengan kuantiti 640 tan metrik berjaya dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dari tahun 2024 sehingga Julai lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata dalam tempoh sama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) turut melaksanakan 18 rampasan melibatkan 114 tan metrik karkas babi yang dianggarkan bernilai RM3.05 juta di beberapa negeri termasuk Kelantan, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau menjelaskan, kawalan pengimportan oleh MAQIS dilaksanakan melalui pemeriksaan dokumen seperti permit import dan sijil kesihatan veterinar, selain pemeriksaan fizikal kontena di pintu masuk sempadan negara.

Turut dijalankan ialah persampelan produk khinzir bagi memastikan ia bebas daripada sebarang penyakit berjangkit sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

Sementara itu, tindakan penguatkuasaan DVS melibatkan rondaan serta operasi bersepadu bersama pelbagai agensi termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKSEM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

“Kementerian ini (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) ingin menegaskan bahawa sebarang kemasukan daging khinzir secara tidak sah akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 atau Akta 728 termasuk denda yang tinggi dan tindakan mahkamah ke atas pihak yang didapati bersalah,” katanya.

Penyataan itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin di sini.

Tambah beliau, peruntukan di bawah Akta Binatang 1953 juga membolehkan DVS mengambil tindakan terhadap isu berkaitan.

Pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama dengan negara jiran selain meningkatkan program kesedaran kepada orang ramai bagi membanteras risiko kemasukan daging haram yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan industri penternakan negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM